Pengenalan Tamadun Indus

Tamadun lembah Indus (IVC) adalah tamadun zaman gangsa (3300-1300 SM; tempoh matang 2600-1600 SM) bertumpu di sebelah barat laut Asia Selatan, memanjang dari timur laut Afghanistan moden sehingga Pakistan dan ke barat laut India moden.

Bersama dengan Mesir Purba dan Mesopotamia, tamadun ini adalah antara tiga tamadun terawal dalam dunia purba dan yang ketiga paling luas sebarannya. Ia berkembang di lembangan Sungai Indus, yang mengalir di kepanjangan negara Pakistan, sepanjang sistem sungai yang selari, penuh ketika musim tengkujuh yang pernah melalui Ghaggar-Hakra di sebelah barat laut India dan timur Pakistan secara bermusim.

Penyaliran di rantau ini ketika abad ke-3 SM mungkin menjadi penyebab awal kepada proses urbanisasi yang dikaitkan dengan tamadun ini, namun akhirnya air sungai menjadi cetek dan terhapus sehingga menyebabkan tamadun ini jatuh. Populasinya pula berganjak ke sebelah timur.

Pada zaman kegemilangannya, ia dianggarkan mempunyai populasi melebihi lima juta orang. Penduduk di lembah sungai ini memperkembang teknik-teknik baru dalam seni tangan seperti produk carnelia atau pahatan cap mohor dan metalurgi iaitu seni pada tembaga, gangsa, plumbum dan timah. Kota-kota tamadun ini diketahui melalui ciri-ciri urbannya seperti perancangan bandarnya, batu-bata yang dipanaskan, sistem perparitan yang lengkap, sistem bekalan air dan kelompok bangunan besar-besar yang tidak berpenghuni untuk kegunaan bandar.

Tamadun Indus juga dikenali sebagai Tamadun Harappan, mengikut nama tapak Harappa yang dicarigali pada tahun 1920an di wilayah Punjab dalam pemerintahan British India. Tapak itu kini berada dalam negara Pakistan.  Penemuan tapak Harappa ini kemudian membawa kepada penemuan tapak Mohenjo-Daro, yang merupakan hasil kerja yang bermula dari tahun 1861 dengan penemuan yang dibuat oleh Kajiselidik Arkeologi India di British Raj. 

Ekskavasi tapak-tapak di Harappan berlangsung sejak tahun 1920, dengan penemuan-penemuan penting yang berlaku sehingga yang terbaru pada tahun 1999. Tamadun ini kadang-kadang dirujuk sebagai budaya Harappan Matang bagi membezakannya dengan kebudayaan-kebudayaan yang muncul sebelumnya dan selepasnya. Terdapat juga budaya Harappan Awal dan budaya Harappan Lewat. Kedua-duanya pun terdapat di tapak kebudayaan Harappan Matang.

Kebudayaan Harappan awal didahului oleh kampung-kampung pertanian Neolitik tempatan dan dari situ kawasan-kawasan lembangan sungai pun dipenuhi penduduk. Menjelang 1999, sebanyak 1,056 bandar dan penempatan purba ditemui. 96 daripadanya dicarigali, terutamanya di rantau Sungai Indus dan Ghaggar-Hakra serta cawangan-cawangan sungainya. Antara penempatan tersebut, pusat bandar utamanya adalah Harappa, Mohenjo-Daro (Tapak Warisan Dunia UNESCO), Dholavira, Ganerivala di Cholistan dan Rakhigarhi.

Bahasa di kota Harappa tidak dapat dipastikan secara terus dan perkaitannya pun tidak jelas kerana tulisan bahasa Indus tidak dapat dibaca. Kaitan dengan bahasa Dravidia atau kelompok bahasa Elamo-Dravidia disukai oleh sebahagian daripada sarjana sejarah tamadun Indus.